Isnin, 9 September 2019 | 9:49pm
Penerbangan pertama akan membawa 320 rakyat Afrika Selatan manakala penerbangan berikutnya akan ditambah selepas itu. -Foto Agensi

Nigeria hantar pulang 600 rakyat Afrika Selatan

ABUJA: Nigeria akan menghantar pulang kira-kira 600 rakyat Afrika Selatan minggu ini susulan gelombang keganasan xenofobia yang mencetuskan perbalahan sengit antara dua negara, kata seorang diplomat negara itu hari ini.

Ketua Konsul Nigeria di Johannesburg, Godwin Adamu berkata, ada kira-kira 600 rakyat Afrika Selatan yang akan diterbangkan.

Katanya, penerbangan pertama akan membawa 320 orang manakala penerbangan berikutnya akan ditambah selepas itu.

Johannesburg dan kawasan sekitar digegarkan dengan siri serangan maut ke atas warga asing minggu lalu, termasuk banyak menyasar perniagaan dan hartanah milik Nigeria.

Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam keganasan dan ratusan kedai dimusnahkan sementara lebih 420 orang ditahan.

Adamu berkata, lebih 100,000 rakyat Nigeria dianggarkan menetap di Afrika Selatan. Pekerja asing di Afrika Selatan, ekonomi kedua terbesar benua itu selepas Nigeria, sering menjadi mangsa sentimen anti-pendatang di sebuah negara di mana hampir satu daripada setiap tiga orang menganggur.

Keganasan mencetuskan serangan balas ke atas firma Afrika Selatan di Nigeria dan penutupan sementara misi diplomatiknya di Lagos dan Abuja.

Minggu lalu, Nigeria memanggil duta Afrika Selatan untuk mengutuk keganasan sambil menghantar seorang wakil bertemu Presiden Cyril Ramaphosa. -AFP

Berita Harian X