Sabtu, 23 November 2019 | 7:35pm
Orang berkumpul di sekitar jalan yang musnah akibat banjir berhampiran Kapenguria, Pokot County Barat di Kenya. - Foto EPA

12 maut dalam tanah runtuh di Kenya

NAIROBI: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam insiden tanah runtuh yang memusnahkan sejumlah kediaman di Kenya akibat hujan lebat yang berlarutan, kata kerajaan tempatan hari ini.

Difahamkan kejadian berlaku malam semalam ketika hujan lebat melanda wilayah Pokot Barat di Kenya, 350 kilometer ke barat laut ibu negara Nairobi.

“Sejumlah 12 mayat ditemui dan kami sedang berusaha mencari lebih ramai lagi penduduk yang dikhuatiri masih hilang,” kata Pesuruhjaya Wilayah Pokot Barat, Apollo Okello hari ini.

Okello berkata, dua kanak-kanak berjaya dikeluarkan dengan selamat dari runtuhan dan lumpur terbabit.

Polis bagaimanapun bimbang, angka korban mungkin meningkat dan mengerahkan usaha menyelamat diteruskan.

Bencana tanah runtuh terbabit bukan saja menjejaskan Kenya tetapi seluruh Afrika Timur sejak beberapa minggu lalu.

Hujan lebat turut memaksa puluhan ribu penduduk Somalia berpindah, menenggelamkan seluruh bandar di Selatan Sudan dan mengakibatkan puluhan penduduk di Habsyah dan Tanzania terkorban akibat banjir kilat dan tanah runtuh. - AFP

Berita Harian X