Rabu, 27 November 2019 | 11:56am
Penduduk setempat berkumpul di kawasan tanah runtuh akibat hujan lebat di Republik Congo. - Foto REUTERS

41 maut hujan lebat landa Republik Congo

KINSHASA : Seramai 41 orang maut di ibu negara Republik Congo selepas negara itu dilanda hujan lebat dan tanah runtuh, kata seorang pegawai kanan semalam.

“Jumlah kehilangan sama ada nyawa atau harta benda adalah amat besar,” kata naib gabenor Kishasa, Neron Mbungu sambil menambah, jumlah kematian itu hanya pada peringkat awal dan dijangka terus meningkat.

Menurut beliau, antara mangsa terkorban termasuk seorang kanak-kanak yan meninggal dunia apabila terkena kejutan elektrik.

Banjir besar yang membawa maut sering melanda Kinshasa, iaitu bandar ketiga terbesar di benua Afrika dengan kepadatan 10 juta penduduk.

Pakar berkata, amalan pembinaan tidak mengikut standard di bandar dan kekurangan perlindungan di kawasan setinggan menyumbang kepada jumlah kematian yang tinggi.

Jalan raya musah akibat tanah runtuh dan hujan lebat yang melanda daerah Lemba di Kinshasa, Republik Congo. - Foto AFP

Presiden Felix Tshisekedi melawat lokasi paling teruk terjejas dan disambut kemarahan golongan muda yang mendesak beliau membaik pulih kawasan berkenaan.

Mbungu berkata, sebuah jambatan menghubungkan daerah Lemba dan Ngaba runtuh, manakala sebuah lagi di daerah Kisenso pula dihanyutkan air.

Di Lemba, seorang wartawan melihat sebuah lubang besar sedalam 10 meter dan seluas 20 meter terbentuk di jalan raya.

Datuk Bandar Lemba, Jean Nsaka berkata, sistem pengairan yang sedia ada musnah akibat tekanan air, menyebabkan keseluruhan kawasan sekitar tenggelam.

“Lebih daripada 300 rumah dinaiki air dan banyak lagi musnah dalam bencana ini,” katanya. - AFP

Berita Harian X