Selasa, 3 Disember 2019 | 8:44pm

16 maut, 90 cedera kilang jubin terbakar

KHARTOUM: Seramai 16 orang maut dan lebih 90 cedera selepas sebuah kilang membuat jubin di ibu negara Sudan meletup lalu terbakar, hari ini.

Doktor dan saksi berkata, asap hitam tebal kelihatan di ruang udara selepas kebakaran di kilang terletak di zon industri di utara Khartoum.

Wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian berkata, polis sudah mengepung seluruh kilang terbabit.

Menurut laporan awal daripada doktor, 16 orang maut dan lebih 90 cedera.

Katanya, mangsa dibawa ke beberapa hospital di ibu negara dan mereka menggesa doktor yang bercuti kembali bertugas.

Televisyen tempatan melaporkan ‘kehilangan nyawa dan harta besar-besaran’ dalam kebakaran itu.

“Letupan sangat kuat. Beberapa kereta diletakkan berhampiran perkarangan kilang juga terbakar,” kata saksi. - AFP

Berita Harian X