Rabu, 4 Disember 2019 | 1:08pm
KEADAAN kilang jubin yang musnah dalam kebakaran di kawasan perindustrian utara Khartoum. - Foto AFP

23 maut, ratusan cedera kilang jubin terbakar

KHARTOUM : Seramai 23 orang maut manakala puluhan lagi cedera dalam satu kebakaran membabitkan sebuah kilang, di ibu negara Sudan semalam.

Menurut saksi, asap hitam dilihat memenuhi ruang udara selepas api mula menjilat bangunan kilang jubin di kawasan perindustrian utara Khartoum itu.

“Letupan yang berlaku amat kuat dan beberapa kereta yang berada di perkarangan kilang turut terbakar,” kata seorang pekerja ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kedutaan India di Khartoum berkata, laporan mendapati kilang terbabit memiliki lebih 50 pekerja dari kalangan rakyat India yang turut maut dalam tragedi itu.

KEADAAN kilang jubin yang musnah dalam kebakaran di kawasan perindustrian utara Khartoum. - Foto AFP

“Satu kebakaran berlaku di kawasan perindustrian yang meragut 23 nyawa dan mencederakan lebih 130 mangsa.

“Ia dipercayai berpunca daripada letupan tangki gas,” kata kerajaan menerusi satu kenyataan.

Kenyataan itu menyebut, laporan awal mendapati, kilang berkenaan tidak memiliki beberapa peralatan keselamatan yang wajib ada di premis terbabit.

“Kami juga mendapati, ada bahan mudah terbakar tidak disimpan dengan sempurna, menyebabkan api mudah merebak,” katanya sambil menambah, siasatan lanjut akan segera dijalankan.

Seorang doktor berkata, mangsa sudah dibawa ke beberapa hospital dan beliau turut menggesa rakan sejawat yang bercuti untuk segera melapor diri bagi membantu menangani suasana. - AFP

Berita Harian X