Khamis, 5 Disember 2019 | 8:27am

57 pendatang maut, bot karam di Mauritania

DAKAR (SENEGAL) : Sehingga 57 orang disahkan maut apabila kapal yang membawa kira-kira 150 pendatang tanpa izin dari Gambia karam di perairan Mauritania, semalam, kata agensi pendatang Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Lautan bergelora dari Afrika Barat ke Eropah pada satu ketika dulu adalah laluan utama untuk pendatang ini yang mahu mencari pekerjaan atau kehidupan lebuh baik di benua lain.

Kejadian ini adalah antara yang terburuk sejak Sepanyol meningkatkan kawalan di sekitar perairan berkenaan bermula pertengahan 2000.

“Pihak berkuasa Mauritania berkata, 57 orang disahkan terkorban apabila kapal yang mereka naiki karam di luar perairan negara itu.

“Mangsa yang terselamat memberitahu, kapal berkenaan meninggalkan Gambia semalam dengan membawa sekurang-kurangnya 150 penumpang,” kata Pertubuhan Antarabangsa untuk Pendatang (IOM) di Twitter.

Pihak berkuasa Mauritania tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan keterangan lanjut.

Walaupun dibarisi beberapa negara yang pesat membangun, Afrika Barat masih bergelut untuk mewujudkan peluang pekerjaan mencukupi bagi golongan muda.

Akibatnya, pendatang tanpa izin terus menggadai nyawa meredah risiko untuk menempuh laluan berbahaya bagi mencari kehidupan lebih baik di Eropah. - Reuters

Berita Harian X