Khamis, 5 Disember 2019 | 9:12pm
Wabak campak di Congo sudah meragut 5,000 nyawa tahun ini, kebanyakannya kanak-kanak. - Foto fail Reuters

Lebih 5,000 kematian akibat campak di Congo

GENEVA: Wabak campak di Republik Demokratik Congo sudah meragut 5,000 nyawa tahun ini, kebanyakannya kanak-kanak, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Kadar imunisasi rendah dan kekurangan zat memburukkan lagi keadaan, hingga mencatatkan angka kematian tinggi, terutama di wilayah Kivu Utara, yang juga masih belum pulih daripada wabak Ebola.

“Sejak awal 2019, lebih 250,000 kes disyaki campak dan 5,000 kematian direkodkan, kebanyakannya dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun,” kata WHO dalam kenyataan.

Kempen vaksin campak pertama dilancarkan untuk melindungi penduduk daripada penyakit berjangkit itu, yang melanda semua 26 wilayah di negara berkenaan.

Fasa ketiga kempen sedang dirancang, dengan sasaran utama mencapai 18.9 juta kanak-kanak di seluruh negara menjelang akhir tahun.

“Ketika wabak Ebola berjaya menarik perhatian dunia kepada negara ini dan ada kemajuan dalam usaha menyelamatkan nyawa, kita jangan lupa satu lagi keperluan kesihatan penting yang dihadapinya,” kata Pengarah Serantau WHO bagi Afrika, Dr Matshidiso Moeti.

Menurut WHO, proses pemberian vaksin adalah paling mencabar di Kivu Utara, yang menyaksikan 2.2 juta penduduk akan diberi suntikan vaksin kali ini, disebabkan keadaan tidak selamat susulan serangan bersenjata yang menjadikan ada kawasan tidak dapat dimasuki pekerja bantuan. — Reuters

Berita Harian X