Isnin, 9 Disember 2019 | 10:31pm

Lebih 9 juta kekurangan makanan di Afrika

PARIS: Jumlah individu yang memerlukan bantuan makanan mendesak di 16 negara di wilayah Sahel, Afrika meningkat lebih dua kali ganda, tahun ini, kepada kira-kira 9.4 juta ekoran peningkatan keganasan dan faktor ketidaktentuan, menurut pegawai dan pakar, hari ini.

Tiga negara termasuk Nigeria, Niger dan Burkina Faso berdepan keadaan krisis fasa tiga daripada lima fasa. Ukuran itu digunakan Rangkaian Pencegahan Krisis Makanan termasuk kerajaan dan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan banyak NGO dunia.

Kira-kira 9.4 juta penduduk dalam keadaan memerlukan bantuan segera bagi tempoh Oktober hingga Disember 2019 di 16 negara yang dianalisa termasuk empat juta di Nigeria, 1.5 juta di Niger dan 1.2 juta di Burkina Faso tidak termasuk Liberia.

“Menjelang Jun hingga Ogos 2020, 14.4 juta orang dijangka berada dalam situasi krisis atau lebih teruk termasuk 1.2 juta dalam situasi darurat (fasa 4),” menurut kenyataan rangkaian itu, ketika mesyuarat tahunannya di Paris.

“Ketidaktentuan sivil semakin teruk di Mali, Burkina Faso dan Nigeria, tahun ini,” kata wakil Jawatankuasa Antaranegara Tetap untuk kawalan kemarau di Sahel, Mahalmoudou Hamadoun.

“Justeru kebanyakan penduduk luar bandar tidak boleh memastikan cara sara diri, pertanian atau penjagaan ternakan walaupun mereka terus berdepan perubahan iklim,” katanya.

Kawasan meluas Sahel di sepanjang lingkaran selatan Sahara amat terdedah kepada kemarau lebih-lebih lagi dengan kadar kelahiran melonjak di seluruh rantau itu. - AFP

Berita Harian X