Rabu, 15 Januari 2020 | 9:58pm

Terlalu awal untuk katakan gencatan senjata Libya lucut - Menteri Pertahanan Turki

ANKARA: Turki semalam berkata, ia terlalu awal untuk mengatakan sama ada gencatan senjata di Libya telah batal selepas komander tentera Libya timur, Khalifa Haftar, gagal menandatangani perjanjian gencatan senjata pada rundingan minggu ini.

  

Rundingan Russo-Turki di Moscow bertujuan menghentikan kempen sembilan bulan Haftar untuk merampas ibukota Libya, Tripoli dari tentera yang menyokong kerajaan Fayez al-Serraj yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Serraj, yang kerajaannya berjuang untuk menolak kempen sembilan bulan itu, menandatangani cadangan gencatan senjata, tetapi Haftar meninggalkan Moscow tanpa menurunkan tandatangannya.

Sejak itu beliau tidak memberi ulasan sama ada akan menandatanganinya atau tidak.

  

Sejak diktator veteran, Muammar Gaddafi, digulingkan dalam pemberontakan pada tahun 2011, negara Afrika Utara itu telah mengalami kekacauan, dengan kuasa luar memberikan sokongan kepada puak-puak yang bersaing.

Turki menyokong kerajaan Serraj, manakala Haftar mendapat sokongan dari Mesir, Emiriah Arab Bersatu, tentera Jordan dan Russia.

"Kita tidak boleh mengatakan bahawa gencatan senjata telah batal, adalah terlalu awal untuk membuat penafsiran seperti itu," kata Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar kepada wartawan di Ankara.

Beliau menambah, bahawa Ankara sedang menunggu keputusan diplomasi oleh Moscow, yang mempunyai hubungan dengan Serraj, walaupun ia telah memberi sokongan kepada Haftar.

  

Turki telah menghantar pasukan latihan dan kerjasama yang kini aktif di Libya, kata Akar.

Turki komited kepada sokongan ketenteraan untuk kerajaan Tripoli pada bulan Disember selepas kedatangan tentera upahan Russia membantu Tentera Kebangsaan Libya (LNA) Haftar memperoleh beberapa kejayaan kecil di sepanjang baris depan Tripoli. - REUTERS

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X