Ahad, 26 Januari 2020 | 9:59pm
Pihak Berkuasa Kesihatan Nigeria menyelaras langkah kecemasan bagi menangani peningkatan kes demam Lassa yang sudah meragut 29 nyawa bulan ini.
Pihak Berkuasa Kesihatan Nigeria menyelaras langkah kecemasan bagi menangani peningkatan kes demam Lassa yang sudah meragut 29 nyawa bulan ini.

Demam Lassa korbankan 29 di Nigeria

LAGOS: Pihak Berkuasa Kesihatan Nigeria menyelaras langkah kecemasan bagi menangani peningkatan kes demam Lassa yang sudah meragut 29 nyawa bulan ini.

Pusat Kawalan Penyakit Nigeria (NCDC), dalam satu kenyataan, berkata setakat 24 Januari lalu, 195 kes demam Lassa disahkan dan 29 kematian dilaporkan di 11 negeri.

“Pusat operasi kecemasan kebangsaan dibuka bagi menyelaras usaha menangani peningkatan kes demam Lassa di negara ini,” katanya.

Penyakit yang endemik di Nigeria itu tergolong dalam kumpulan yang sama dengan virus Ebola dan Marburg tetapi tidak berbahaya sepertinya.

Virus itu tersebar melalui najis atau kencing tikus, bermula dengan simptom demam dan dalam kes yang lebih serius, boleh mengakibatkan pendarahan teruk serta kegagalan fungsi organ.

Nigeria mengisytiharkan wabak Lassa kira-kira setahun lalu apabila sekitar 170 orang terkorban.

Kes terbabit lazimnya meningkat pada Januari, berikutan cuaca kering semasa musim panas.

Hampir 90 peratus kes yang disahkan kali ini berlaku di Edo, Ondo dan Ebonyi iaitu negeri di selatan Nigeria, tetapi beberapa kematian turut dilaporkan di utara.

NCDC berkata, berbanding tempoh sama tahun lalu, kadar kematian berkurangan daripada 23.4 peratus kepada 14.8 peratus dan menasihatkan penduduk negara itu mengamalkan cara hidup yang bersih bagi melindungi diri serta keluarga. - AFP

Berita Harian X