Isnin, 27 Januari 2020 | 9:32pm
Biji buah kopi yang menjadi pilihan untuk dijamah kelawar, dikatakan lebih harum dan mendapat permintaan tinggi. - Foto Reuters
Biji buah kopi yang menjadi pilihan untuk dijamah kelawar, dikatakan lebih harum dan mendapat permintaan tinggi. - Foto Reuters

Kopi air liur kelawar digemari di Madagascar

ITASY: Selera luar biasa penggemar kopi membuatkan ramai orang di Madagascar cenderung menikmati minuman yang dihasilkan daripada kopi campuran air liur kelawar.

Kawasan bekas kawah gunung berapi menyuburkan tanaman kopi yang jarang ditemui dan wangi baunya, sekali gus menjadi tarikan kepada banyak kelawar.

Biji buah kopi yang menjadi pilihan untuk dijamah kelawar, dikatakan lebih harum dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemarnya dengan harga mencecah AS$110 (RM447.21) sekilogram.

Pelabur syarikat kopi Trabocca, Matthew Harisson, berkata kemasyhuran biji kopi eksotik itu atau ‘bourbon pointu’ itu menjadikannya produk komersial Afrika yang membawa keuntungan lumayan.

“Lazimnya Madagascar menggunakan biji kopi berkualiti rendah bagi menghasilkan kopi segera, namun penanam kini beralih kepada kopi jenis Arabica.

“Sebelum ini, petani tidak mempunyai minat mendalam menghasilkan kopi premium, tetapi kini tidak lagi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan Pengusaha Kopi Tempatan, Nirina Malala Ravaonasolo, berkata tiada usaha luar biasa dalam kalangan pengusaha kopi harganya rendah, membuatkan mereka tiada kesungguhan menanamnya.

“Bagaimanapun, perusahaan tanaman kopi kini jadi nadi kehidupan kami kerana boleh itu dijual sehingga AS$101 (RM410) sekilogram, 50 kali ganda berbanding gred kopi biasa.

“Semuanya kerana air liur kelawar melonjakkan harga. Kelawar liar mengunyah biji kopi kemudian menghasilkan cairan dari pencernaan, yang menjadikan rasa halus kopi digemari pelanggan,” katanya.

Peniaga kopi Belgium, Ronald Van der Vaeken, berkata rasa kopi campuran itu sangat istimewa.

“Ia seperti kopi biasa, namun selepas dua minit rasanya menjadi enak, aroma harum dan bukan berasid, malah baik untuk kesihatan,” katanya.

Pengusaha kopi, Jacques Ramarlah, yang memperkenalkan kopi air liur kelawar dua tahun lalu, kini ada lebih 90 petani menghantar biji kopi untuk diproses dan dijual di restoran.

“Tahun ini, kami merancang mengeksport ke pasaran luar seperti Jepun. Ini kerana kebanyakan pelanggan adalah pengunjung restoran mewah,” katanya.

Dua tahun lalu, beliau memperkenalkan biji kopi ‘bourbon pointu’ yang dibawa dari Pulau Reunion, selepas mendapati kelawar menggemari buah kopi terbabit.

Kopi unik eksotik bukanlah sesuatu yang baru kerana sudah ada biji kopi daripada najis musang atau kopi luwak, kopi daripada najis gajah di Thailand dan kopi air liur kelawar Costa Rica, sama seperti yang Ramarlah usahakan. - Reuters

Berita Harian X