Isnin, 16 March 2020 | 10:48pm
Penduduk Kenya memakai topeng muka ketika berjalan di Nairobi. - Foto AFP
Penduduk Kenya memakai topeng muka ketika berjalan di Nairobi. - Foto AFP

COVID-19: Kedai jual kit ujian palsu diserbu

NAIROBI: Pihak berkuasa Kenya menyerbu sebuah kedai menjual kit ujian COVID-19 palsu.

Dalam serbuan itu, polis menahan kakitangan dan mengunci kedai berkenaan selepas mendapati kedai berkenaan mengiklankan kit ujian itu secara dalam talian.

Di Afrika Barat, sebuah negara kecil dan miskin iaitu Liberia mengumumkan kematian pertama, menjadikan 27 negara Afrika kini mengesahkan penularan COVID-19.

Ethiopia, negara kedua terbesar di Afrika turut terkesan apabila sekolah ditutup selama dua minggu, manakala Perdana Menteri, Abiy Ahmed, melarang semua perhimpunan besar dan membatalkan semua acara sukan.

Perkhidmatan pengangkutan percuma pula akan disediakan oleh bas kerajaan saja untuk membendung kesesakan dalam sistem pengangkutan awam.

“Perdana Menteri menyeru semua untuk bertenang dan melengkapkan diri dengan maklumat yang tepat dari Kementerian Kesihatan,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Kebanyakan negara Afrika, termasuk yang tidak mempunyai laporan COVID-19, diarah mengambil langkah ketat termasuk melarang sebarang perhimpunan umum, menghentikan penerbangan dan menutup sekolah serta universiti.

Menteri Kewangan Afrika Selatan, Tito Mboweni berkata, walaupun mempunyai wang peruntukan melalui dana Bencana Kebangsaan, kerajaan tetap memerlukan bantuan selanjutnya.

“Memandangkan penularan COVID-19 semakin banyak, kita perlu mengasingkan sedikit dana dengan mengurangkan bagi program anjuran kerajaan,” katanya.

Jumlah kes di Rwanda meningkat kepada lima kes, manakala Kementerian Kesihatan Burkina Faso berkata lapan kes COVID-19 sudah disahkan, menjadikan 15 kes sejak 9 Mac lalu.

Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan terdapat sekurang-kurangnya 327 kes di benua Afrika. - REUTERS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X