Isnin, 20 April 2020 | 11:33am

Gerombolan penyamun serang perkampungan petani, 47 terbunuh

KANO (Nigeria): Gerombolan penyamun yang menunggang lebih 100 motosikal, membunuh 47 orang dalam serangan terancang ke atas beberapa perkampungan petani di negeri utara Nigeria, Katsina, kata Pejabat Presiden dan polis tempatan, semalam.

Jurucakap polis negeri itu, Gambo Isah, dalam satu kenyataan berkata penyamun berkenaan melancarkan ‘serangan secara terancang dan serentak’ terhadap perkampungan itu.

Beliau berkata, serbuan pada awal pagi kelmarin itu menyasarkan perkampungan di daerah Dutsenma, Danmusa dan Safana.

Jurucakap kepada Presiden Muhammadu Buhari pula mengesahkan serangan itu dalam satu kenyataan yang turut mengutuk gerombolan lelaki bersenjata api terbabit sebagai ‘penyamun’.

Isah berkata, anggota pasukan keselamatan, termasuk tentera dan polis telah dikerahkan ke lokasi berkenaan, semalam.

Penyamun berkenaan dipercayai adalah ahli geng penjenayah yang menjalankan kegiatan mencuri lembu dan menculik untuk mendapatkan wang tebusan di kawasan terbabit.

Menurut polis dalam satu kenyataan, penduduk kampung telah bertindak melawan mereka dalam satu serangan sebelum itu.

Bagaimanapun, geng terbabit datang semula jam 2.30 pagi dengan menunggang kira-kira 150 motosikal di mana setiap satu membawa dua hingga tiga orang.

Penduduk memberitahu polis bahawa penjenayah itu kemudian melepaskan tembakan bertalu-talu di perkampungan berkenaan, selain turut membakar rumah.

Katsina adalah negeri kelahiran Buhari, dan Presiden itu mengutuk ‘serangan terbaru oleh penyamun’ berkenaan dalam kenyataannya, semalam.

Buhari berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan ‘pembunuhan besar-besaran rakyat tidak berdosa oleh penyamun’ sambil berikrar untuk menangani serangan sedemikian secara tegas.

Masyarakat luar bandar di negeri itu sering menjadi sasaran geng bersenjata api terbabit.

Penjenayah berkenaan mempunyai kem didirikan dalam hutan Rugu yang merentasi beberapa negeri meliputi Katsina, Zamfara, Kaduna dan Niger.

Dari sana, mereka akan melancarkan serangan ke serata kawasan empat negeri terbabit.

Pada Februari lalu, seramai 30 orang terbunuh apabila sebuah geng pencuri lembu menyerang perkampungan Tsauwa dan Dankar di daerah Batsari di Katsina. - AFP

Berita Harian X