Ahad, 17 Mei 2020 | 12:25pm
Enam maut di Nigeria akibat pergaduhan berikutan kemalangan membabitkan basikal roda tiga.
Enam maut di Nigeria akibat pergaduhan berikutan kemalangan membabitkan basikal roda tiga.

6 maut keganasan etnik di Nigeria

KANO: Pihak berkuasa melaporkan enam orang maut dalam keganasan etnik di Adamawa, utara Nigeria semalam, namun penduduk tempatan mendakwa jumlah kematian adalah lebih tinggi.

Jurucakap polis negeri, Suleiman Nguroje, berkata enam mayat ditemui selepas pertempuran berkenaan, yang tercetus Jumaat lalu.

"Ia adalah keganasan etnik yang bermula akibat perselisihan faham antara masyatrakat Hausa dan puak Chabo, susulan kemalangan membabitkan basikal roda tiga.

"Beberapa buah rumah turut dibakar, memaksa ratusan penduduk mencari perlindungan di sekolah berhampiran.

"Pasukan tentera dan polis sudah dikerah ke lokasi bagi mengawal keadaan serta menahan individu bertanggungjawab," katanya.

Gabenor negeri, Ahmadu Fintiri, melawat kawasan kejadian dan melahirkan rasa terkejut melihat tahap kemusnahan di kampung itu.

Menurut penduduk tempatan, puluhan mayat dikebumikan susulan pertempuran berkenaan.

"Pagi ini, kami mengebumikan 35 mayat," kata seorang penduduk tempatan, Ishaku Yaya.

Ketegangan etnik menjadi lumrah dalam kalangan masyarakat setempat akibat kemelut politik dan krisis ekonomi. - AFP

Berita Harian X