Khamis, 21 Mei 2020 | 8:53am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Hospital seperti tanah perkuburan, mayat di mana-mana - Jururawat

LIMA: Peru muncul sebagai negara Amerika Latin kedua selepas Brazil, yang mencatatkan jumlah jangkitan COVID-19 sebanyak 100,000 kes, lapor perangkaan Kementerian Kesihatan, Rabu.

Sehingga kini, jumlah kematian di negara itu sudah melepasi 3,000 orang dan ia adalah peningkatan tiga kali ganda sejak 30 April lalu.

Statistik berkenaan terus meningkat walaupun Peru sudah melaksanakan perintah berkurung selama sembilan minggu, sekali gus melumpuhkan ekonomi mereka.

Majoriti kes adalah di Lima dan Callao, yang menempatkan satu pertiga daripada keseluruhan 32 juta penduduk.

Sistem kesihatan Peru kini semakin terdesak dan berada di ambang kemusnahan, dengan hospital berdepan masalah kekurangan bekalan peralatan perubatan yang serius.

"Ia seperti sebuah filem seram. Di dalam hospital kelihatan seperti sebuah tanah perkuburan dengan mayat di mana-mana.

"Pesakit terbiar menunggu ajal di atas kerusi atau kerusi roda," kata Miguel Armas, jururawat di Hospital Hipolito Unanue di Lima.

Armas dan beberapa petugas hospital membuat bantahan jalanan pada Rabu, mendesak peralatan keselamatan perubatan yang lebih baik.

Menurut perangkaan rasmi, Peru ada 7,500 pesakit COVID-19. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X