X
Ahad, 24 Mei 2020 | 9:42am

1 maut, 6 hilang bot terbalik

TUNIS: Seorang maut, manakala enam lagi hilang di laut, apabila sebuah bot terbalik ketika membawa pendatang tanpa izin dari Tunisia ke Itali, semalam, kata pihak berkuasa negara ini.

Jurucakap Unit Perlindungan Awam Tunisia, Moez Triaa, memberitahu AFP bahawa bot terbabit karam di persisiran Thyna berhampiran pelabuhan Sfax pada waktu pagi.

Beliau berkata, sejumlah 20 rakyat Tunisia berada di atas bot berkenaan ketika tragedi itu berlaku.

Katanya, mayat seorang mangsa berjaya ditemui, manakala operasi mencari dan menyelamat enam penumpang lain sedang dijalankan.

Beliau berkata, pihak berkuasa menahan 11 lagi individu yang menaiki bot itu, sementara dua orang pula dapat melarikan diri.

Jurucakap Pengawal Kebangsaan, Housemeddine Jebabli, pula memberitahu stesen radio swasta, Mosaique FM, pasukan berkenaan telah menahan seramai 223 orang yang cuba menyeberangi Laut Mediterranean secara haram untuk ke Eropah, minggu ini.

Beliau berkata, pendatang terbabit meliputi 94 warga Afrika sub-Sahara.

Setiap tahun, ribuan orang muda Tunisia berusaha menyeberangi laut itu untuk ke Eropah berikutan masalah kadar pengangguran yang tinggi di tanah air.

Menurut perkhidmatan pengawal pantai Eropah, Frontex, bilangan pendatang tanpa izin yang cuba memasuki Eropah bagaimanapun menurun sebanyak 85 peratus pada April lalu berbanding bulan sebelumnya.

Frontex mengaitkan penurunan kadar itu dengan penularan pandemik COVID-19. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X