Jumaat, 29 Mei 2020 | 7:35am
Serangan terbaru di Nigeria menyaksikan sekurang-kurangnya 74 penduduk kampung terbunuh. - Foto AFP
Serangan terbaru di Nigeria menyaksikan sekurang-kurangnya 74 penduduk kampung terbunuh. - Foto AFP

Puluhan mati ditembak di Nigeria

KANO: lelaki bersenjata menunggang motosikal menembak mati puluhan penduduk dalam siri serangan di perkampungan di barat laut Nigeria.

Kumpulan penyamun terbabit menyerang lima kampung berhampiran sempadan dengan Niger di Sokoto lewat kelmarin.

Pemimpin tempatan di daerah Sabon Birni, Lawal Kakale, berkata jumlah kematian kini mencecah 74, meningkatkan daripada 60 yang dilaporkan sebelum ini, berikutan penemuan lebih banyak mayat.

"kami menemui 25 mayat di Garki, 13 di Dan Aduwa, 25 di Kuzari, tujuh di Katuma dan empat di Masawa.

"Orang ramai bertempiaran lari pabila diserang dan mayat bergelimpangan merata-rata," katanya.

Kakitangan perubatan di hospital berdekatan berkata mereka menerima 60 mayat dengan kesan tembakan, kebanyakannya di kepala.

Jurucakap polis mengesahkan serangan terbabit tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih diteruskan.

Gabenor Sokoto, Aminu Waziri Tambuwal, berkata serangan dilancarkan ratusan lelaki bersenjata itu amat mengejutkan kerana pasukan keselamatan baru saja melawat kawasan berkenaan bagi cuba mengurangkan ketegangan. - AFP

Berita Harian X