Rabu, 10 Jun 2020 | 9:44am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

59 terbunuh akibat serangan pemberontak ISWAP

KANO, NIGERIA: Pemberontak yang dikaitkan dengan militan Daesh membunuh 59 orang dalam satu serangan di sebuah perkampungan di wilayah Borno, timur laut Nigeria.

Pemberontak dari Wilayah Islam Afrika Barat (ISWAP) itu memandu ke kampung terpencil di daerah Gubio itu sambil menembak dan melanggar penduduk.

"59 mayat ditemui daripada serangan itu. Sebahagian daripada mereka ditembak dan yang lain terbunuh akibat dilanggar oleh kenderaan," menurut pemimpin anti pemberontak, Babakura Kolo.

Serangan itu dipercayai sebagai balasan terhadap pembunuhan pemberontak oleh pengawal tempatan yang melindungi kawasan penduduk kampung dari kecurian dilakukan militan, menurut pemimpin tempatan di kampung itu. 

"Kami kehilangan 59 saudara dalam tempoh masa yang singkat," katanya.

Kumpulan pemberontak itu didapati mencuri ternakan penduduk kampung sehingga mendorong penduduk membentuk kumpulan pertahanan dengan 'memburu' mereka di dalam semak dan membunuh mereka dalam pertempuran bagi membendung kejadian itu, menurut seorang anggota militan lain, Ibrahim Liman.

Gubio, 80 kilometer daripada ibu kota Maiduguri sering menjadi sasaran tanpa henti kumpulan pemberontak, mendorong pihak berkuasa menghantar lebih dari 100 orang untuk mengawal dan melindungi bandar serta kawasan-kawasan berdekatan daripada serangan ISWAP.

ISWAP adalah puak serpihan dari Boko Haram pada tahun 2016.

Dalam tempoh dua tahun lalu, puak itu telah meningkatkan serangan terhadap tentera, dan dalam beberapa bulan kebelakangan ini terdapat peningkatan serangan terhadap orang awam.

Konflik selama berdekad itu sudah membunuh 36,000 orang dan memindahkan hampir dua juta orang dari rumah mereka di kawasan timur laut.

Keganasan juga terjadi di kawasan kejiranan Niger, Chad dan Cameroon, mendorong gabungan tentera wilayah untuk memerangi pemberontak. - AFP

Berita Harian X