Isnin, 29 Jun 2020 | 8:22am
- Foto fail AFP
- Foto fail AFP

11 terbunuh dalam serangan hendap militan

KANO, NIGERIA: Sekurang-kurangnya sembilan askar Nigeria dan dua anggota pertahanan awam mati dibunuh dalam serangan kumpulan pemberontak terhadap konvoi awam di timur laut Borno, menurut sumber keselamatan.

Insiden itu turut menyebabkan beberapa orang awam hilang dan dipercayai sama ada diculik atau terbunuh.

Pemberontak yang dikaitkan dengan militan Daesh itu melepaskan tembakan dan bom tangan roket terhadap lebih 100 kenderaan di luar kampung Komala berdekatan bandar Damboa, 90 kilometer dari ibu kota Maiduguri.

"Ia adalah serangan terhadap konvoi awam yang dikawal oleh tentera dan anggota pertahanan," kata pegawai tentera yang tidak mahu dikenali.

Konvoi dari Maiduguri itu diserang ketika menuju ke Damboa dan semua mayat ditemui bersama dengan mereka yang cedera, menurut pemimpin militan, Ibrahim Liman.

"Pemberontak turut merampas beberapa kenderaan dan mengambil bekalan sebelum kembali ke kawasan mereka, Sambisa, manakala beberapa orang awam masih hilang dan dianggap sudah terbunuh atau diculik," katanya.

Boko Haram dan puak serpihan Wilayah Islam Afrika Barat (ISWAP) terkenal kerana menyerang konvoi tentera dan awam di lebuh raya di luar Maiduguri selain menculik pelancong di pusat pemeriksaan.

Orang awam yang melakukan perjalanan ke utara Maiduguri bergerak dalam konvoi di bawah pengawalan tentera kerana serangan berterusan oleh pemberontak yang semakin meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Konflik gerakan militan selama satu dekad mengorbankan 36,000 orang dan mengusir hampir dua juta penduduk dari kediaman di timur laut.

Keganasan itu juga merebak ke negara jiran Niger, Chad dan Cameroon yang mendorong gabungan tentera wilayah untuk memerangi militan. - AFP

Berita Harian X