Sabtu, 1 Ogos 2020 | 1:37pm
Penduduk setempat menuntut Pasukan Pengaman PBB dan tentera Demokratik Congo (FARDC) meninggalkan wilayah itu selepas seorang anggota tentera mabuk membunuh 13 orang awam. - Foto AFP
Penduduk setempat menuntut Pasukan Pengaman PBB dan tentera Demokratik Congo (FARDC) meninggalkan wilayah itu selepas seorang anggota tentera mabuk membunuh 13 orang awam. - Foto AFP

Anggota tentera mabuk bunuh 13 orang awam

BUKAVU: Seorang anggota tentera di Congo melepaskan tembakan secara rambang dalam keadaan mabuk, menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang awam terbunuh termasuk tujuh wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Tragedi itu menimbulkan kemarahan orang ramai, yang meletakkan mayat terbabit di kawasan terbuka dengan ditutup kain dan mengadakan tunjuk perasaan mengecam pasukan tentera.

Mereka juga menuntut pasukan tentera dan Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meninggalkan wilayah itu.

Menurut seorang pegawai pendakwa, tragedi lewat kelmarin itu berlaku di Sange, dalam wilayah Uvira di daerah Kivu Selatan.

"Tentera mabuk itu adalah anggota pasukan bersenjata Demokratik Congo (FARDC), yang melepaskan tembakan secara rambang terhadap kira-kira 20 orang awam yang berdekatan," katanya.

Jurucakap tentera, Kapten Dieudonne Kasereka, berkata anggota tentera berkenaan menembak mati 13 orang dan mencederakan sembilan lagi dalam keadaan mabuk.

"Dia masih bersenjata dan berjaya melarikan diri. Sepasukan tentera FARDC dan tentera pengaman PBB berada di lapangan bagi meredakan ketegangan penduduk terhadap pihak tentera," katanya.

Seorang pemimpin setempat di Sange, Ndaburwa Rukalisa, berkata anggota tentera berkenaan adalah daripada Batalion Ke-122 FARDC yang berpangkalan di wilayah itu. - AFP

Berita Harian X