Ahad, 2 Ogos 2020 | 10:16am
AFRIKA Selatan negara paling teruk dilanda waba di benua Afrika.- Foto/AFP
AFRIKA Selatan negara paling teruk dilanda waba di benua Afrika.- Foto/AFP

COVID-19: Afrika Selatan catat lebih 500,000 kes positif

JOHANNESBURG: Afrika Selatan merekodkan lebih 500,000 kes COVID-19, menjadikannya negara paling teruk dilanda wabak itu, mengikut laporan Kementerian Kesihatannya, semalam.

Negara itu kini menjadi pusat wabak maut di benua itu, dengan lebih separuh daripada Afrika disahkan dijangkiti COVID-19.

Menteri Kesihatan, Zweli Mkhize, berkata hari ini Afrika Selatan melepasi angka setengah juta dengan keseluruhan kes kumulatif yang positif COVID-19 ialah sebanyak 503,290.

Lebih daripada satu pertiga kes positif direkodkan di wilayah Gauteng, iaitu hub kewangan Afrika Selatan.

Jumlah korban adalah sebanyak 8,153, namun penyelidik tempatan merekodkan lonjakan hampir 60 peratus membabitkan keseluruhan bilangan kematian semula jadi dalam tempoh beberapa minggu ini, dengan berpendapat mangsa yang maut akibat COVID-19 jauh lebih tinggi daripada rekod rasmi.

Analisis daripada Majlis Penyelidikan Perubatan Afrika Selatan (SAMRC) terkemuka, menunjukkan tambahan 22,000 kematian semula jadi direkodkan antara 6 Mei hingga 21 Julai berbanding tempoh sama pada 2018 dan 2019.

Presiden, Cyril Ramaphosa, semalam berkata kes kadar kematian di Afrika Selatan berada pada paras 1.6 peratus yang disifatkan 'jauh lebih rendah daripada rekod global biasa.

"Walaupun Afrika Selatan merekodkan kes keseluruhan COVID-19 kelima tertinggi secara global, namun bilangan kematian kita hanya berada pada tahap 36 tertinggi daripada nisbah populasi," katanya.

Jumlah kes di Afrika Selatan dilihat meningkat dengan pantas dalam tempoh beberapa minggu ini.

Pihak berkuasa kesihatan menjangkakan peningkatan kes selepas tindakan melonggarkan perintah larangan secara berperingkat yang dikuatkuasakan pada 27 Mac iaitu ketika fasa awal penularan pandemik itu.

Bagaimanapun, kadar sembuh sehingga kini adalah tinggi iaitu pada 68 peratus.

Afrika Selatan yang mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan yang terbaik di benua ini, bagaimanapun terjejas akibat tuduhan rasuah dalam bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada pekerja kesihatan di hospital kerajaan.

Minggu lalu, jurucakap Ramaphosa, Khusela Diko mengambil cuti sementara menunggu hasil siasatan mengenai dakwaan terhadap suaminya berkaitan kontrak tidak sah untuk PPE.

Diko dan suaminya bagaimanapun mengaku tidak bersalah dengan menyatakan bahawa kontrak itu tidak pernah dimuktamadkan.

Menteri Kesihatan wilayah Gauteng, Bandile Masuke pula diarahkan mengambil cuti minggu ini sehingga siasatan terhadap tuduhan disyaki rasuah dalam pembelian PPE dan bekalan perubatan lain.

Ramaphosa mengutuk tindakan itu dalam ketika negara itu berdepan dengan wabak COVID-19.

"Adalah tidak masuk akal ada orang yang menggunakan krisis kesihatan ini untuk meraih keuntungan peribadi secara tidak sah, " katanya melalui kenyataan, semalam.

Afrika Selatan menjalankan ujian agresif, dengan lebih tiga juta ujian dilaksanakan sejak kes pertama wabak itu direkodkan di Afrika Selatan pada awal Mac lalu- AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X