Jumaat, 4 Ogos 2017 | 7:29am
Antonio Guterres

Guterres lawat Israel, Palestin hujung bulan

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, akan mengadakan lawatan ke Israel dan Palestin termasuk Semenanjung Gaza buat kali pertama pada akhir bulan ini sejak memegang jawatan itu.

Beliau juga akan mengadakan rundingan dengan pemimpin Israel, mengunjungi Ramallah untuk bertemu Presiden Mahmoud Abbas dan ke Semenanjung Gaza, lokasi PBB mengendalikan program bantuan Palestin, dalam lawatan tiga hari bermula 28 Ogos itu.

Duta Israel ke PBB, Danny Danon, berkata lawatan itu membolehkan Guterres 'membina hubungan' dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan juga akan mengadakan mesyuarat dengan Presiden Israel dan Menteri Pertahanan wilayah Yahudi itu.

"Kami gembira dengan lawatan ini. Ia adalah peluang terbaik bagai Guterres menjelajah Israel, bertemu pemimpin dan memahami cabaran dihadapi kami setiap hari," kata Danon.

Duta Palestin, Riyad Mansour, pula menggambarkan lawatan itu sebagai amat penting, menegaskan itu menunjukkan isyarat kuat tumpuan PBB ke atas nasib rakyat Palestin.

"PBB terbabit sejak penubuhannya dengan persoalan mengenai Palestin dan akan kekal terbabit sehingga persoalan itu selesai dalam semua aspek berdasarkan undang-undang antarabangsa," katanya.

Lawatan dibuat ketika usaha diplomatik untuk menghidupkan semula rundingan damai Israel-Palestin menemui jalan buntu. - AFP

Berita Harian X