Sabtu, 5 Ogos 2017 | 12:06pm
Antara dron buatan syarikat China, SZ DJI Technology Co Ltd.

Tentera AS henti guna dron China

NEW YORK: Tentera Amerika Syarikat (AS) mengarahkan penggunaan dron buatan syarikat China, SZ DJI Technology Co Ltd, dihentikan kerana produk itu terdedah kepada ancaman siber.

Pada 2 Ogos lalu, satu memo yang disahkan Reuters dimuat naik membabitkan semua sistem dan dron yang menggunakan komponen atau perisian DJI.

Ia mengarahkan penggunaan semua aplikasi DJI dihentikan dan segala bateri, simpanan media serta peralatan keselamatan dikeluarkan.

Memo itu berkata, dron DJI paling meluas digunakan tentera dalam kalangan peralatan yang tidak dijual di pasaran.

DJI dalam satu kenyataan berkata, ia terkejut dan kecewa dengan larangan tentera terhadap dron keluarannya memandangkan tiada perbincangan dilakukan terlebih dulu.

Syarikat milik persendirian itu berkata, ia akan menghubungi tentera untuk mendapatkan maklumat apakah yang dikatakan sebagai 'terdedah kepada ancaman siber' dan sedia bekerjasama dengan Pentagon dalam mengatasi kebimbangan terbabit. - Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X