Khamis, 21 September 2017 | 12:19am
ANGGOTA penyelamat menolong mangsa taufan Maria yang membadai Guayama, Puerto Rico, hari ini. - Foto Reuters
ANGGOTA penyelamat menolong mangsa taufan Maria yang membadai Guayama, Puerto Rico, hari ini. - Foto Reuters

Maria landa Puerto Rico

SAN JUAN: Taufan Maria membadai Puerto Rico hari ini sebagai ribut paling kuat melanda wilayah Amerika Syarikat (AS) itu dalam masa hampir 90 tahun.

Ia juga menyebabkan bekalan elektrik ke hampir seluruh pulau itu terputus, banjir di beberapa bahagian dan menerbangkan tingkap di ibu kota negara itu, San Juan.

Maria, taufan kedua terkuat membadai di Caribbean bulan ini, tiba berhampiran Yabouca, di barat daya kepulauan dengan 3.4 juta penduduk itu.

Ribuan daripada mereka kini berlindung di pusat perlindungan.

KEADAAN banjir selepas taufan Maria melanda di Puerto Rico. - Foto Reuters
KEADAAN banjir selepas taufan Maria melanda di Puerto Rico. - Foto Reuters

Membawa bersama angin selaju 220 kilometer sejam, ribut dan hujan, pusat Maria berada kira-kira 40 kilometer ke barat San Juan sejurus sebelum jam 11 pagi waktu tempatan, kata Pusat Taufan Kebangsaan.

Sehingga 90 peratus kepulauan itu mengalami gangguan bekalan elektrik, lapor akhbar El Nuevo Dia yang memetik kenyataan Gabenor Ricardo Rossello.

Di bandar raya Guayama, jalan raya bertukar menjadi sungai yang membawa serpihan diterbangkan angin.

Maria meragut sekurang-kurangnya dua nyawa di wilayah Perancis, Guadeloupe, ketika bergerak ke Caribbean.

Ia memusnahkan Dominica dan menyebabkan kerosakan di St Croix, salah satu daripada Kepulauan Virgin milik AS. - Reuters

Berita Harian X