Jumaat, 27 Oktober 2017 | 7:33am
GAMBAR fail, Produser Filem Amerika Syarikat, Harvey Weinstein tiba pada Anugerah Akademi ke-86 di Hollywood, California pada 2014. - Foto AFP

Weinstein tuntut akses fail dan e-mel

LOS ANGELES: Jutawan Hollywood, Harvey Weinstein, memfailkan saman terhadap syarikatnya, bagi mendapatkan akses kepada fail peribadi dan e-mel miliknya.

Weinstein, yang masih memegang saham dalam firma berkenaan, memerlukan akses kepada fail peribadi dan akaun e-mel bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu beliau menangani dakwaan terhadapnya dan syarikat.

Saman itu difailkan di Delaware, menyatakan Weinstein meminta The Weinstein Company menyerahkan dokumen itu kepada peguamnya, tetapi ditolak.

Studio filem yang dicemari skandal memecat Weinstein bulan lalu susulan artikel mengejutkan dalam akhbar The New York Times dan The New Yorker, mengenai dakwaan gangguan seksual dilakukan olehnya.

Sejak itu, puluhan wanita tampil menuduh Weinstein melakukan serangan seksual dan merogol mereka sejak beberapa dekad lalu.

"Weinstein percaya bahawa akaun e-melnya mengandungi maklumat yang akan membebaskan beliau dan syarikat daripada dakwaan terhadapnya," katanya.

Dalam tuntutannya, Weinstein menegaskan beliau memerlukan akses kepada fail dan e-mel bagi membantu syarikat mengelakkan penyelesaian atau penghakiman yang tidak adil.

Seorang aktres minggu ini menuntut

AS$5 juta (RM21 juta) daripada The Weinstein Company, berhubung dakwaan terhadap penerbit itu. - AFP

268 dibaca
Berita Harian X