Selasa, 7 November 2017 | 10:29am
PENERBIT Hollywood, Weinstein. - Foto Reuters

Montreal terima 500 panggilan gangguan seksual

MONTREAL: Polis Montreal menerima 463 panggilan menerusi talian gangguan seksual yang disediakan susulan skandal Harvey Weinstein dalam tempoh kurang tiga minggu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 98 kertas siasatan dibuka membabitkan kes jenayah serangan seksual," kata polis.

Menurut polis, talian telefon khusus yang disediakan sebelum ini kini ditutup.

Keadaan ini dipercayai berpunca daripada desakan yang dibuat Ketua Polis Montreal, Philippe Pichet supaya mangsa salah laku seksual tampil buat pendedahan berhubung kejadian yang menimpa mereka.

Ia susulan pelbagai pengakuan yang dibuat dalam talian dan media mengenai penerbit Hollywood, Weinstein; penerbit Kanada, Gilbert Rozon dan lain-lain individu.

Setakat ini, sekitar 100 wanita sudah mengemukakan tuduhan terhadap Weinstein melakukan salah laku seksual sejak pendedahan kali pertama oleh New York Times pada awal bulan lalu.

Dakwaan itu, termasuk gangguan dan juga rogol, namun Weinstein menafikan wujud sebarang hubungan tanpa kerelaan.

Tuduhan yang sama turut menggegarkan industri hiburan Quebec, selepas Rozon dipaksa meninggalkan festival komedi 'Just for Laughs' yang diasaskannya, selain dakwaan membabitkan personaliti televisyen Quebec, Eric Salvail.

Antara individu yang menuduh Rozon adalah pengacara dan penerbit televisyen Julie Snyder. - AFP

757 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »