Sabtu, 30 Disember 2017 | 11:21am
GOLONGAN transgender akan dibenarkan buat kali pertama menyertai angkatan tentera Amerika Syarikat (AS) bermula Isnin ini seperti diarahkan oleh mahkamah persekutuan. - Foto Reuters

Tentera AS rekrut transgender

WASHINGTON: Golongan transgender akan dibenarkan buat kali pertama menyertai angkatan tentera Amerika Syarikat (AS) bermula Isnin ini seperti diarahkan oleh mahkamah persekutuan, kata Pentagon semalam.

Keputusan itu dibuat selepas pentadbiran Presiden Donald Trump memutuskan untuk tidak mencabar keputusan yang menyekat pengharaman beliau terhadap transgender.

Dua mahkamah rayuan persekutuan, masing-masing di Washington dan Virginia, minggu lalu menolak permintaan pentadbiran untuk menghalang arahan hakim mahkamah rendah yang membenarkan tentera untuk mula menerima rekrut transgender, Isnin ini.

Seorang pegawai Jabatan Kehakiman berkata pentadbiran tidak akan mencabar keputusan itu.

Jurucakap Pentagon, Heather Babb berkata dalam satu kenyataan, seperti yang termaktub di dalam perintah mahkamah, Jabatan Pertahanan bersedia untuk mula mengakses pemohon transgender bagi perkhidmatan ketenteraan, pada 1 Januari ini.

"Semua pemohon perlu memenuhi standard yang diperlukan," kata Babb. - Reuters

Berita Harian X