Selasa, 9 Januari 2018 | 12:54am
OPRAH Winfrey berucap pada majlis Anugerah Golden Globe di Beverly Hills, California. - Foto Reuters

Oprah isytihar 'hari baharu' untuk wanita

LOS ANGELES: Oprah Winfrey mengisytiharkan 'hari baharu' untuk wanita dan gadis yang berdepan lelaki pendera ketika ucapan berapi dalam Anugerah Golden Globe mencetuskan cakap-cakap beliau mahu menceburi bidang politik.

Tidak lama selepas kenyataan di televisyen dalam majlis gala Hollywood itu, peminat menggesanya mencabar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika pemilihan 2020, walaupun beliau tidak memberi bayangan berminat bertanding.

Winfrey, 63, yang mana rancangan bual bicaranya satu ketika dulu mengubah era televisyen dan membantu beliau menjadi bilionair, memberi ucapan berkesan namun fokus yang membawa bersama isu jantina, kemiskinan dan perkauman ketika menerima anugerah pencapaian seumur hidup.

Beliau memuji pergerakan #MeToo yang segera mendapat perhatian susulan pendedahan salah laku seksual besar-besaran oleh jutawan filem, Harvey Weinstein.

Memberi penghormatan kepada Recy Taylor, wanita Afrika Amerika yang berani melaporkan insiden dirogol beramai-ramai pada 1944 oleh enam lelaki kulit putih di Alabama dan meninggal dunia bulan lalu sebelum usia 98 tahun, Winfrey kesal terhadap 'satu budaya diruntuhkan oleh lelaki kejam berkuasa.'

"Dalam tempoh panjang, wanita tidak pernah didengari atau dipercayai jika mereka berani bercakap benar di hadapan lelaki berkuasa. Namun masa mereka sudah tamat!

"Justeru saya mahu semua gadis yang melihat di sini untuk tahu bahawa hari baharu kini sudah tiba.

"Apabila hari baharu itu akhirnya muncul, ia adalah kerana ramai wanita hebat, kebanyakannya berada di sini dalam bilik ini malam ini dan ramai lelaki hebat, berjuang habis-habisan untuk memastikan mereka menjadi pemimpin yang membawa kita ke masa di mana tiada siapa pernah mengatakan 'me too' sekali lagi," katanya disambut tepukan gemuruh penonton yang berdiri dan malah menangis.

Pada permulaan Golden Globe, hos Seth Meyers secara main-main menggalakkan Winfrey bertanding sebagai presiden menentang Trump, yang melakar sejarah menang walaupun tidak pernah memegang jawatan politik atau tentera sebelum ini. -AFP

447 dibaca
Berita Harian X