Rabu, 31 Januari 2018 | 9:36pm
LEBIH 1,000 pengkaji dan peminat ilmu angkasa membanjiri Balai Cerap Griffith di Gunung Hollywood. - Foto AFP

Supermoon bulan tumpuan peminat angkasa

LOS ANGELES: Lebih 1,000 pengkaji dan peminat ilmu angkasa membanjiri Balai Cerap Griffith di Gunung Hollywood, bagi menyaksikan gerhana bulan luar biasa, iaitu 'Super Blue Blood Moon' atau gerhana bulan biru berdarah.

Keadaan ini memaksa Balai Cerap Griffith menambah jumlah teleskop bagi membolehkan semua pengunjung menyaksikan fenomena itu.

"Balai Cerap Griffith umpama mata kita di langit, jadi sekadar mengetahui mengenai peristiwa ini menerusi buku, berbanding menyaksikannya sendiri, adalah dua perkara berbeza," kata ketua penyelidik Ed Krupp dalam satu temu bual menerusi telefon.

Krupp yang gemar membuat persembahan khas ketika gerhana sebelum ini, merancang untuk berpakaian seperti ahli sihir dan mengetuk periuk belanga di luar balai cerap sambil disaksikan orang ramai.

Persembahannya lebih kepada mengimbau mitos aneh mengenai gerhana sejak zaman Babylon.

"Masyarakat ketika itu percaya mereka harus menakutkan sejenis makhluk misteri yang mahu menelan bulan," kata Krupp.

Di barat Amerika Utara, fenomena itu boleh dilihat sejak jam 3.48 pagi (waktu tempatan).

Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra bumi.

Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara kepada warna kemerahan dan kemudiannya kembali ke warna aslinya sepanjang tempoh lima jam.

Seperti gerhana bulan penuh, Bumi akan menghasilkan bayang-bayang berwarna merah gelap di permukaan satelit secara semula jadinya, sehingga timbulnya istilah 'bulan berdarah'.

Menurut peramal cuaca, AccuWeather, kali terakhir ketiga-tiga keadaan berlaku pada gerhana bulan tunggal adalah pada 1866 dan dapat dilihat dari Amerika Utara.

Sementara itu, di Beijing, ribuan orang ramai berkumpul di Planetarium Beijing semalam, untuk menyaksikan fenomena 'bulan super biru merah' yang kali terakhir berlaku pada akhir dinasti Ming lebih 150 tahun lalu.

Langit yang diramal cerah di ibu negara China itu, turut memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan fenomena itu beberapa lokasi di negara terbabit. - Reuters

807 dibaca
Berita Harian X