Khamis, 15 Februari 2018 | 10:30pm
PELAKON James Bond, Daniel Craig, melelong kereta Aston Martin yang dibuat khas untuknya sempena filem itu bagi tujuan amal. - Foto REUTERS

Craig lelong Aston Martin untuk amal

LOS ANGELES: Pelakon James Bond, Daniel Craig, melelong kereta Aston Martin yang dibuat khas untuknya sempena filem itu bagi tujuan amal.

Kereta jenama Aston Martin digunakan dalam kesemua empat filem Bond dibintangi pelakon berkenaan.

Kereta peribadi Aston Martin Vanguish model 2014 milik Craig dengan nombor plat 007 itu dianggar bernilai antara AS$400,000 (RM1.6 juta) hingga AS$600,000 (RM2.34 juta).

Ia akan diletakkan di bilik pameran Christie di sini bermula 27 Februari hingga 3 Mac sebelum berpindah ke New York untuk dilelong pada 20 April sebagai sebahagian jualan karya seni hiasan tahunan.

Menurut pelelong itu, warna luar dan dalaman kereta dipilih mengikut warna kesukaan Craig.

Hasil lelongan itu akan diserahkan kepada badan amal The Opportunity Network berpusat di New York bagi membantu pelajar kurang bernasib baik ke universiti dan kerjaya.

Tahun lalu, Craig berkata beliau akan memegang Bond buat kali terakhir yang dijadualkan ditayangkan di Amerika Syarikat pada 8 November 2019.

Kereta Aston Martin kali pertama muncul dalam siri ketiga francais filem itu, Goldfinger pada 1964, dengan Sean Connery memandu Aston Martin DB5 berwarna perak. -REUTERS

Berita Harian X