Sabtu, 17 Februari 2018 | 12:17am
CHRYSTIA Freeland. - Foto EPA

Kanada laksana sekatan atas Jeneral tentera Myanmar

OTTAWA : Kerajaan Kanada hari ini mengumumkan pelaksanaan sekatan ke atas seorang pemerintah tentera Myanmar yang terbabit dalam operasi tentera, menyebabkan 700,000 etnik Muslim Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Ia adalah sekatan kedua dibuat ke atas Mejar Jeneral Maung Maung Soe selepas Amerika Syarikat terlebih dulu berbuat demikian Disember lalu.

Menteri Luar Chrystia Freeland dalam satu kenyataan berkata, Jeneral Maung memainkan peranan penting dalam pencabulan hak asasi manusia ke atas etnik Rohingya yang memaksa lebih 680,000 penduduk wilayah Rakhine itu melarikan diri ke Bangladesh.

"Kanada tidak akan berdiam diri terhadap kekejaman seperti ini yang dilakukan ke atas penduduk Rohingya.

"Pihak bertanggungjawab atas jenayah ini perlu didakwa," katanya.

Sekatan berkenaan mencakupi pembekuan aset yang mungkin dimiliki pegawai kanan tentera itu di Kanada, selain larangan berurusan dengan beliau.

Sejumlah besar pendatang Rohingya kini mencari perlindungan di kem pelarian di Bangladesh sejak operasi ketenteraan dilancarkan kerajaan Myanmar, enam bulan lalu. - AFP

Berita Harian X