Sabtu, 28 April 2018 | 7:47am
ORANG ramai dinasihati mengelak daripada memakan salad romaine. - Foto AFP

98 mangsa salad romaine di Amerika Syarikat

WASHINGTON: Kira-kira 98 individu di 22 negeri di seluruh Amerika Syarikat disahkan menjadi mangsa wabak bakteria Escherichia coli (E.coli) selepas memakan salad romaine.

"Setakat ini, tiada kematian dilaporkan tetapi 46 mangsa sedang dirawat di hospital, termasuk 10 individu kerana mengalami masalah kegagalan buah pinggang," kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat.

Berikutan itu, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada memakan salad romaine yang ditanam di sekitar kawasan Yuma, Arizona.

"CDC menasihatkan pengguna supaya tidak memakan atau membeli salad romaine jika mereka tidak mengetahui lokasi ia ditanam.

"Ia membabitkan semua jenis salad romaine, termasuk salad romaine organik dan campuran salad yang mengandungi salad romaine," kata CDC dalam satu kenyataan.

Sementara itu, siasatan mengenai punca wabak berkenaan masih dijalankan.

Namun, setakat ini, Ladang Harrison di Yuma, Arizona dikenal pasti mempunyai kaitan dengan bakteria E.coli itu, dan pihak berkuasa masih menyiasat puluhan lagi ladang di kawasan berkenaan. - AFP

Berita Harian X