Khamis, 17 Mei 2018 | 7:42am
GAMBAR fail, peguam peribadi Donald Trump, Michael Cohen (tengah) meninggalkan Mahkamah Amerika Syarikat di New York pada 26 April lalu. - Foto AFP

Trump dedah bayar semula peguam kes bintang porno

WASHINGTON: Presiden Donald Trump secara rasmi mendedahkan bahawa beliau membayar semula peguamnya lebih AS$100,000 (RM396,752) tahun lalu, difahamkan ada kaitan dengan pembayaran wang rahsia kepada seorang bintang lucah, menurut laporan kerajaan.

Pendedahan itu menunjukkan satu siri kenyataan bertentangan dari Trump dan wakilnya membabitkan skandal yang berlegar di sekitar peguam Michael Cohen. Ia turut menjejaskan nama beberapa syarikat perbadanan utama dan oligarki Russia.

Dokumen yang dikeluarkan semalam oleh sebuah badan etika kerajaan AS, tidak menyatakan sebab pembayaran kepada Cohen, yang membayar AS$130,000 (RM515,776) kepada pelakon filem porno, Stormy Daniels ketika pemilihan pada 2016.

Daniels, atau nama sebenarnya Stephanie Clifford, mendakwa pernah menjalin hubungan dengan Trump pada 2006.

Presiden menafikan hubungan itu, dan pada mulanya mengaku tidak tahu menahu mengenai sebarang pembayaran, yang menurut Cohen bertujuan untuk menghalang Daniels daripada membuat pendedahan kepada umum.

Walau bagaimanapun, dakwaan Trump mula terbongkar awal bulan ini, selepas Rudy Giuliani, ahli baru pasukan undang-undang presiden, berkata Trump membayar balik Cohen untuk jumlah yang dibayar kepada Daniels dan mengakui pembayaran balik itu.

Stormy Daniels menyaman untuk dibebaskan daripada perjanjian yang dicapai dengan Cohen, mendakwa ia tidak sah kerana Trump tidak pernah menandatanganinya. - AFP

2871 dibaca
Berita Harian X