Sabtu, 19 Mei 2018 | 11:14pm
CUBA berkabung selama dua hari untuk memperingati mangsa nahas pesawat syarikat penerbangan kerajaan yang mengorbankan 107 penumpang dan kru. - Foto AFP
CUBA berkabung selama dua hari untuk memperingati mangsa nahas pesawat syarikat penerbangan kerajaan yang mengorbankan 107 penumpang dan kru. - Foto AFP

Cuba berkabung nahas kapal terbang

HAVANA: Cuba berkabung selama dua hari, mulai hari ini untuk memperingati mangsa nahas pesawat syarikat penerbangan kerajaan yang mengorbankan 107 penumpang dan kru.

Presiden Miguel Diaz-Canel berkata, siasatan terhadap nahas membabitkan pesawat Boeing 737 yang berusia hampir 40 tahun itu semalam, sudah dijalankan.

Difahamkan, pesawat itu disewakan sebuah syarikat Mexico kepada syarikat penerbangan kerajaan Cubana de Aviacion.

Tiga wanita berjaya dikeluarkan daripada serpihan pesawat itu dan hanya mereka mangsa terselamat.

Pesawat itu terhempas sebaik berlepas dari lapangan terbang Jose Marti, ia jatuh di sebuah padang berhampiran lapangan terbang terbabit dan menyebabkan kepulan asap hitam kelihatan di udara.

Tempoh berkabung bermula pagi hari ini sehingga tengah malam Ahad ini, kata pemimpin Parti Komunis dan bekas Presiden, Raul Castro. Bendera akan dikibarkan separuh tiang di seluruh negara itu.

Pesawat itu dalam penerbangan domestik dari Havana ke bandar Holguin, timur Cuba. Kebanyakan mangsa adalah warga Cuba dengan lima warga asing termasuk dua warga Argentina.

Ketika nahas, 110 penumpang dan kru berada dalam pesawat itu yang musnah kerana terhempas dan kebakaran. Anggota bomba bergegas ke lokasi bersama banyak ambulans untuk membantu mangsa terselamat.

Difahamkan, hanya salah satu sayap kapal terbang itu jelas kelihatan. Ruang utama penumpang hampir musnah sepenuhnya. - AFP

Berita Harian X