Sabtu, 2 Jun 2018 | 11:42pm
WARREN Buffet.
WARREN Buffet.

Sesi makan tengah hari dengan Buffet RM13 juta

OMAHA: Seorang pembida dirahsiakan bersetuju membayar AS$3.3 juta (RM13.13 juta) dalam satu lelongan untuk sesi makan tengah hari tertutup dengan hartawan pelaburan, Warren Buffet merangkap Pengerusi syarikat Berkshire Hathaway Inc.

Sesi lelongan itu dilakukan selama lima hari secara dalam talian di eBay. Dana itu akan diberikan kepada badan kebajikan Glide Foundation di San Francisco yang memberikan perkhidmatan kepada golongan miskin, gelandangan atau ketagihan dadah.

Ia adalah harga sesi makan tengah hari ketiga paling mahal, sejak Buffet mula menawarkan sesi itu 19 tahun lalu.

Rekod tertinggi sesi itu dicapai pada 2012 dan 2016 berharga AS$3.45 juta (RM13.72 juta). Lelongan tahun ini menyaksikan 136 bidaan daripada enam pembida, sehingga ia ditutup, malam semalam.

Lelongan itu membantu menampung bajet tahunan Glide sebanyak AS$20 juta (RM79.56 juta) yang digunakan untuk menyediakan 750,000 makanan percuma, tempat perlindungan, ujian HIV dan Hepatitis, latihan pekerjaan, khidmat penjagaan kanak-kanak serta program selepas sekolah.

"Glide mengambil golongan yang berada pada tahap terendah kehidupan dan membantu mereka bangkit," menurut kenyataan Buffet.

Buffet, 87, berjaya meraih AS$29.6 juta (RM117.75 juta) untuk Glide menerusi 19 lelongan. Isteri pertamanya, Susan yang meninggal dunia pada 2004 memperkenalkan beliau kepada Glide selepas menjadi sukarelawan di badan itu. - Reuters

Berita Harian X