Rabu, 11 Julai 2018 | 7:31pm
GAMBAR fail, sebuah jet penumpang American Airlines meluncur di bawah bulan kerana ia berada di lapangan terbang LaGuardia di New York New York, 28 Ogos 2012. - Foto REUTERS

American Airlines tak guna penyedut, pengacau plastik

ALASKA: Syarikat penerbangan American Airlines (AA) semalam berkata, ia bercadang untuk menghapuskan penggunaan penyedut minuman dan batang pembancuh air plastik di lounge serta dalam penerbangan, di tengah gesaan meluas global mengelak penggunaan plastik.

Bermula bulan ini, AA berkata, minuman di lounge lapangan terbang miliknya tidak lagi disertakan peralatan plastik, sebaliknya menggunakan penyedut minuman dan kayu pengacau terbiodegradasi.

Tindakan sama dalam pesawat akan bermula November ini, dengan penyedut minuman dan pengacau plastik digantikan dengan peralatan mesra alam diperbuat daripada buluh.

"Kami mengetahui impak terhadap alam sekitar dan komited melakukan tugas di pihak sendiri bagi mengekalkan planet untuk generasi pelancong akan datang," kata Naib Presiden Perkhidmatan Penerbangan AA, Jill Surdek dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu juga beralih kepada penggunaan peralatan 'mesra alam' di lounge miliknya.

AA berkata, langkah itu akan menghapuskan lebih 32,300 kilogram plastik setiap tahun.

Syarikat penerbangan lawan berpusat di Fort Worth, Texas, Alaska Airlines mengumumkan rancangan menggantikan penyedut minuman plastik kepada alternatif mesra alam bermula Mei lalu.

Manakala Starbucks Corp, rangkaian kedai kopi terbesar dunia berkata, ia tidak lagi menawarkan penyedut minuman plastik di 28,000 lokasi menjelang 2020. -Reuters

Berita Harian X