Rabu, 29 Ogos 2018 | 12:25pm

Wanita AS saman rumah persaraan, isu serangan anti-gay

NEW YORK: Seorang wanita Amerika Syarikat (AS) yang sedang sakit menyaman sebuah rumah persaraan, mendakwa ia gagal melindunginya daripada penghuni lain yang mengganggu dan menyerangnya kerana dirinya seorang lesbian, menurut peguamnya.

Kakitangan di rumah persaraan itu tidak mengendahkan dan mempertikaikan dakwaan oleh Marsha Wetzel, dia diserang dan dihina penghuni lain apabila mengetahui orientasi seksualnya, menurut tuntutan difailkan di mahkamah persekutuan AS.

Satu rayuan mahkamah kelmarin memutuskan kesnya boleh diteruskan, mengatakan pemilik rumah persaraan itu boleh dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang perumahan adil kerana gagal melindungi penyewa daripada gangguan diskriminasi, menurut Lambda Legal, kumpulan hak asasi LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).

“Apabila anda bersara dan anda seorang gay, ada lebih banyak ketakutan, kebimbangan dan perasaan berhati-hati,” kata Wetzel, 70, dalam video disediakan Lambda Legal, yang menguruskan kesnya.

Wetzel berpindah ke Glen St. Andrew Living Community terletak di Niles, Illinois, pada 2014, selepas diusir dari rumah dikongsi bersama pasangannya selama 30 tahun yang sudah meninggal dunia.

Wanita itu hilang upaya akibat artritis teruk dan isu perubatan lain. Penghuni dikatakan menghina, mengancamnya, meludahnya serta memukulnya, sementara kakitangan mempertikaikan dakwaan itu, membalas aduannya, menurut tuntutan saman. -Reuters

Berita Harian X