Selasa, 11 September 2018 | 2:56pm
KIM Jong-un (kanan) menulis surat kepada Presiden Donald Trump meminta pertemuan kedua diadakan. - Foto fail AFP
KIM Jong-un (kanan) menulis surat kepada Presiden Donald Trump meminta pertemuan kedua diadakan. - Foto fail AFP

Jong-un minta pertemuan kedua dengan Trump

WASHINGTON: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menulis surat kepada Presiden Donald Trump meminta pertemuan kedua diadakan dan Rumah Putih sedang menyusun jadual untuk tujuan itu, kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders, semalam.

Kedua-dua pemimpin membincangkan program nuklear Korea Utara sejak pertemuan mereka pada 12 Jun lalu, yang dikritik kerana tiada butiran kukuh mengenai cara dan sama ada Jong-un sedia membatalkan program senjata nuklear yang mengancam Amerika Syarikat (AS).

Tarikh pertemuan kedua Trump-Jong-un belum ditetapkan dan mungkin boleh diadakan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York lewat bulan ini.

Bagaimanapun, Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, John Bolton, berkata beliau tidak rasa Jong-un akan menghadirinya.

Jumaat lalu, Trump memberitahu wartawan bahawa surat peribadi daripada Jong-un sedang dihantar kepadanya.

Sanders berkata ia surat yang amat positif dengan matlamat utama untuk meminta mengadakan pertemuan seterusnya dengan presiden.

“Kami menerima dan sudah pun dalam proses menyelaras perkara itu,” katanya pada sesi taklimat.

Sanders memberitahu wartawan bahawa surat itu menunjukkan komitmen berterusan untuk memberi tumpuan kepada membebaskan semenanjung itu daripada senjata nuklear. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X