X
Jumaat, 28 September 2018 | 11:32am

Pihak bertanggungjawab terhadap insiden ganas akan didakwa

NEW YORK: Siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat terhadap kejadian keganasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar, bertujuan memastikan mereka yang bertanggungjawab menerima hukuman sewajarnya.

Isnin lalu, laporan Jabatan Negara mendapati tentera Myanmar menjalankan kempen pembunuhan beramai-ramai, rogol dan kekejaman yang tersusun ke atas etnik Islam Rohingya.

Namun, laporan itu tidak menghuraikan secara jelas sama ada tindakan itu adalah satu jenayah terhadap kemanusiaan, iaitu antara isu yang dibangkitkan beberapa pegawai kanan Kerajaan Amerika Syarikat, menyebabkan pembentangan laporan itu terpaksa ditangguhkan selama sebulan.

“Ia tidak menyatakan dengan jelas mengenai pertimbangan undang-undang, kerana ia bukan tujuan utama laporan itu,” kata Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Sullivan pada sidang media di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketiadaan perkataan ‘pembunuhan beramai-ramai’ dan ‘jenayah terhadap kemanusiaan’ dalam laporan berkenaan.

Selain itu, Sullivan berkata: “Kami sedang berusaha membawa pihak yang bertanggungjawab, termasuk bagi dibicarakan atas perkara yang anda cadangkan, iaitu sebagai jenayah terhadap kemanusiaan atau pembunuhan beramai-ramai”. - Reuters

Berita Harian X