Khamis, 4 Oktober 2018 | 1:41pm

Jutaan telefon bimbit AS bising terima mesej amaran presiden

WASHINGTON: Jutaan telefon bimbit di Amerika Syarikat (AS) berbunyi semalam ketika ujian pertama sistem amaran presiden yang akan memberi amaran kepada orang ramai jika berlaku kecemasan di peringkat negara, seperti serangan bakal berlaku.

Mesej teks daripada Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) dikeluarkan jam 2.18 petang waktu tempatan dan mencetuskan nada kuat, getaran khas dan mesej bertulis: “INI ADALAH SATU UJIAN Sistem Amaran Kecemasan Tanpa Wayar Kebangsaan. Tiada tindakan diperlukan.”

Satu amaran berasingan di televisyen dan radio dikeluarkan jam 2.20 petang waktu tempatan.

Pihak berkuasa menganggarkan kelmarin, sehingga lebih 225 juta telefon bimbit dan peranti lain seperti jam tangan pintar di AS akan menerima amaran dikeluarkan menara telekomunikasi atau kira-kira 75 peratus daripada semua peranti.

Pihak berkuasa berkata, mereka menjangka amaran itu tidak akan sampai kepada semua telefon atas pelbagai sebab. Sesetengah penduduk melaporkan tidak menerima amaran atau memperolehnya terlewat. Pengguna telefon bimbit AS tidak mempunyai pilihan untuk menolak amaran presiden.

Amaran ujian itu menjadi topik paling banyak dibincangkan di Twitter, sebahagiannya kerana kecenderungan Presiden Donald Trump menghantar tweet kepada 55 juta pengikutnya.

Dalam satu panggilan persidangan kelmarin, pegawai kerajaan memaklumkan media, Trump tidak secara peribadi mencetuskan amaran itu, sama ada daripada telefonnya atau peranti lain dan menegaskan tiada presiden akan ‘bangun tidur pada satu pagi dan cuba menghantar mesej peribadi.’

Amaran ujian itu dihantar peranti sama kepada komputer riba dari sebuah makmal FEMA.

Hashtag #PresidentialAlert menjadi topik hangat di Twitter, di mana kebanyakan pengguna mengadu mengenai sistem amaran atau menganggapnya sebagai satu jenaka. -Reuters

Berita Harian X