Isnin, 15 Oktober 2018 | 6:40pm
Hillary Clinton. - Foto AFP

Skandal Lewinsky bukan salah guna kuasa - Hillary Clinton

WASHINGTON: Hubungan sulit Bill Clinton dengan pelatih Rumah Putih ketika Clinton berjawatan Presiden Amerika Syarikat bukan salah guna kuasa.

Ketika memberi pandangan itu, bekas Wanita Pertama AS, Hillary Clinton, juga berpendapat atas sebab itu suaminya mengambil langkah tepat untuk tidak meletak jawatan selepas skandal berkenaan terbongkar.

Episod yang sudah berusia dua dekad itu kembali mendapat perhatian selepas ada pengkritik mempertikai sama ada perbezaan kuasa tidak seimbang antara seorang presiden dan pelatih menyebabkan mustahil ia boleh dianggap ‘mereka saling bersetuju menjalin hubungan.’

Perkara itu kembali ditimbulkan ketika era #Me Too - merujuk kepada kejadian atau insiden wanita dieksploitasi oleh lelaki.

Bagi sesetengah pihak seperti Senator Kristin Gillibrand dari New York, Bill Clinton sepatutnya meletak jawatan selepas dikenakan sesi pemecatan oleh Kongres yang dikuasai Parti Republikan pada lewat 1998 kerana berbohong mengenai hubungan sulit itu.

Ketika bercakap dalam CBS News pada Ahad lalu, Hillary yang juga bekas calon Presiden dan Setiausaha Negara, tidak bersetuju dengan tanggapan itu.

“Tidak sama sekali,” katanya ketika ditanya sama ada suaminya sepatutnya meletakkan jawatan Presiden.

Didesak sama ada hubungan itu adalah satu salah guna kuasa, beliau berkata ‘tidak’ sambil mengulas bahawa Lewinsky yang ketika itu berusia 22 tahun, ‘sudah dewasa.’

“Siasatan juga telah dijalankan dan saya percaya itulah pengakhiran yang wajar,” katanya lagi.

Pada 1999, Senat mengadakan perbicaraan selama sebulan ke atas Presiden Clinton tetapi kekurangan majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk memecat dan menamatkan mandat beliau. - AFP

Berita Harian X