Isnin, 12 November 2018 | 10:13am
MIKE Pompeo. - Foto EPA

AS pastikan pembunuh Khashoggi dihukum

NEW YORK: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo menegaskan mana-mana individu yang terbabit dengan pembunuhan wartawan Arab Saudi akan dipertanggungjawabkan ketika memaklumkannya kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman menerusi telefon.

Pembunuhan Jamal Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istanbul dan peperangan di Yaman, dua penyebab utama yang memburukkan lagi hubungan dua negara sekutu Washington dan Riyadh sejak berdekad lama.

Putera Mohammad dikatakan terbabit dengan dua kontroversi itu, beliau dikatakan menjadi perancang utama terhadap campur tangan Arab Saudi di Yaman dan perancang utama pembunuhan Khashoggi yang juga rakyat Amerika, pada 2 Oktober lalu.

“Setiausaha negara menegaskan Amerika Syarikat (AS) bakal menahan mereka yang terbabit dengan pembunuhan Jamal Khashoggi dibawa kemuka pengadilan dan Arab Saudi juga perlu melakukan yang sama,” kata jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert dalam satu kenyataan.

Terdahulu diplomat AS berkata, pembunuhan Khashoggi ‘melanggar norma undang-undang antarabangsa’ dan AS mengkaji kemungkinan untuk mengenakan hukuman terhadap individu yang dikenal pasti terbabit.

Bagaimanapun, Pompeo dan Presiden Donald Trump turut menekankan kepentingan hubungan komersial, strategik dan keselamatan dengan negara pengeluar minyak itu.

Pada masa sama, Presiden Turki, Tayyip Erdogan meningkatkan tekanan terhadap Arab Saudi dengan mengatakan Turki bakal mendedahkan rakaman yang berkaitan dengan pembunuhan Khashoggi dengan Riyadh, Washington dan beberapa negara lain tanpa memberi butiran khusus.

Selepas menafikan berulang kali, Arab Saudi akhirnya mengakui wartawan berusia 59 tahun itu dibunuh dalam misi diplomatiknya dalam operasi yang dikenal sebagai ‘penyangak’. - AFP

Berita Harian X