Rabu, 14 November 2018 | 1:01pm
Abizaid dipilih Trump sebagai Duta AS ke Arab Saudi, enam minggu selepas insiden pembunuhan Khashoggi. -Foto Reuters

Trump pilih jeneral bersara sebagai Duta Arab Saudi

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membuat pengumuman semalam, beliau akan mencalonkan seorang komander bersara angkatan tentera di Asia Barat, Jeneral John P Abizaid sebagai duta baharunya ke Arab Saudi, jawatan yang mengambil kira sensitiviti selepas insiden pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Pemilihan itu, jika disahkan Senat, akhirnya memberi Trump, wakil sendiri di Riyadh ketika hubungannya dengan Washington semakin tegang berhubung pembunuhan kejam Khashoggi, wartawan yang tinggal di AS dan menulis untuk akhbar The Washington Post.

Abizaid, seorang rakyat AS berketurunan Lubnan dan fasih berbahasa Arab serta menghabiskan tempoh beberapa tahun tinggal di Asia Barat, berkhidmat sebagai ketua Pusat Arahan AS yang bertanggungjawab untuk rantau itu dan mengawasi tahun awal Perang Iraq di bawah pentadbiran Presiden George W Bush.

Sejak 2016, beliau berkhidmat sebagai wakil khas untuk tentera Ukraine, membantu meningkatkan kapasitinya terhadap pencerobohan Russia.

Pencalonan itu dibuat enam minggu selepas Khashoggi dibunuh ketika mengunjungi konsulat Arab Saudi di Istanbul 2 Oktober lalu. Sepasukan ejen Arab Saudi terbang ke Istanbul dan membunuhnya beberapa minit selepas beliau tiba, kemudian mengerat tubuhnya, menurut pihak berkuasa Turki.

Pihak berkuasa Arab Saudi mengakui Khashoggi dibunuh dalam konsulat dan ia dirancang namun terus menafikan pembabitan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Ketiadaan seorang wakil sama ada di Arab Saudi dan Turki menjadi punca perdebatan sejak kematian Khashoggi, lebih-lebih lagi banyak jawatan penting diplomatik tidak diisi hampir dua tahun selepas pentadbiran Trump, sesetengahnya kerana tiada siapa dicalonkan dan yang lain disebabkan Senat tidak bertindak.

Strategi Asia Barat Trump amat bergantung kepada Arab Saudi, hubungan dicetuskan menantunya, Jared Kushner dan seorang penasihat kanan.

Abizaid, 67, seorang graduan West Point dan menghabiskan 34 tahun dalam tentera. Beliau amat dihormati dalam kalangan tentera dan veteran diplomat. -Reuters

Berita Harian X