Sabtu, 17 November 2018 | 8:23am
Keluarga pelarian di Trinidad dan Tobago. - Foto caribbean360.com

75 warga Cuba ditahan di Trinidad dan Tobago

PORT OF SPAIN: Pihak berkuasa Trinidad dan Tobago memberkas 75 warga Cuba yang mahu memohon suaka di negara di kepulauan Caribbean itu.

Tindakan itu diambil semalam, selepas kumpulan terbabit berkhemah di luar bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, sejak lebih tiga minggu lalu, bagi mendapatkan bantuan kemanusiaan.

Polis Trinidad dan Tobago dalam satu kenyataan berkata, pendatang warga Cuba akan didakwa menghalang laluan di jalan raya.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pelarian PBB (UNHCR) dilaporkan berkata, agensi itu merancang untuk mengemukakan permohonan kumpulan berkenaan kepada Kerajaan Trinidad dan Tobago.

Menurut beberapa pemohon suaka itu, pihak berkuasa tidak memandang serius permohonan yang dikemukakan dan mendakwa tidak dapat bekerja kerana kes mereka masih dalam proses penilaian.

Akhbar harian tempatan, Trinidad and Tobago Guardian, melaporkan jumlah pemohon itu meningkat kepada 100 orang. - Reuters

Berita Harian X