Rabu, 21 November 2018 | 10:46am
DONALD Trump. - Foto Reuters

Hubungan AS - Arab Saudi lebih penting - Trump

WASHINGTON: Presiden Donald Trump, semalam berikrar untuk terus bersama-sama sekutu kuatnya, Arab Saudi walaupun pada masa sama mengaku Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MbS) mungkin dalang pembunuhan kejam wartawan Jamal Khashoggi.

Dalam kenyataannya, yang disiarkan Rumah Putih, Trump berkata hubungan kedua-dua negara lebih penting berbanding kemungkinan pembabitan MbS dalam jenayah itu.

“Memang jelas Putera Mahkota mengetahui mengenai kejadian itu, mungkin beliau melakukannya dan mungkin tidak.

“Kita mungkin tidak akan mengetahui langsung fakta mengenai pembunuhan Jamal Khashoggi.

“Bagaimanapun, hubungan kita tetap dengan Arab Saudi. AS berhasrat untuk kekal sebagai rakan teguh,” kata Trump dalam kenyataan.

Pembunuhan kejam Khashoggi, yang hilang selepas memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu, amat memalukan Washington.

Pembunuhan itu menjadi pemusnah kepada kempen perhubungan awam dimulai MbS untuk menunjukkan negara itu menuju ke arah pembaharuan.

Selama beberapa minggu, Trump enggan menerima bukti pembabitan kerajaan Arab Saudi dalam pembunuhan Khashoggi dan tuduhan MbS mengarahkannya. — AFP

Berita Harian X