Khamis, 29 November 2018 | 1:04pm
Gambar fail menunjukkan pengasas WikiLeaks, Assange (kiri) dan bekas pengurus kempen Trump, Paul Manafort. -Foto AFP
Gambar fail menunjukkan pengasas WikiLeaks, Assange (kiri) dan bekas pengurus kempen Trump, Paul Manafort. -Foto AFP

Dokumen siasatan Russia dedah komunikasi kempen Trump-WikiLeaks

WASHINGTON: Satu draf pendakwaan daripada siasatan pakatan sulit Russia mendedahkan, ia memiliki bukti kerjasama mungkin antara kempen pilihan raya Donald Trump 2016 dan WikiLeaks, yang menerbitkan emel dicuri menjejaskan kelayakan lawannya dari Demokrat, Hillary Clinton.

Dokumen mahkamah ke atas aktivis Republikan Jerome Corsi, jelas dibocorkan peguamnya lewat kelmarin, memperincikan komunikasinya dengan penasihat kempen Trump, Roger Stone pada pertengahan 2016.

Komunikasi itu menimbulkan keraguan berkaitan penafian berulang oleh Trump bahawa kempennya bekerja sama dengan WikiLeaks berhubung penerbitan emel Demokrat, diberi kepada laman web anti-kerahsiaan itu selepas dicuri perisik Russia, menurut kerajaan AS.

Tiga hari selepas pendedahan pertama WikiLeaks pada 22 Julai 2016, Stone meminta Corsi menghubungi pengasas laman itu, Julian Assange, menurut draf pendakwaan.

Corsi melaporkan seminggu kemudian, dia berhubung melalui orang tengah dan Assange merancang mendedahkan dua lagi dokumen yang boleh menjejaskan Clinton.

“Impak yang dirancang begitu merosakkan,” kata Corsi kepada Stone dalam emel, menawarkan nasihat bagaimana kempen itu perlu bersiap sedia.

Stone mengakui berhubung secara tidak langsung dengan Assange pada 2016, seperti mana anak lelaki Trump, Donald Jr.

Namun komunikasi Corsi-Stone menunjukkan tahap kerjasama dan perancangan yang belum pernah muncul dalam bukti didedahkan siasatan diketuai Peguam Khas, Robert Mueller.

Mueller menyiasat jika wujud pakatan sulit antara kempen Trump dan Russia yang dikatakan ketua perisikan AS berkonspirasi secara tidak sah untuk memihak Trump.

Draf pendakwaan itu disediakan sebagai tawaran rayuan antara pasukan Mueller dan Corsi, di mana beliau mengakui berbohong kepada penyiasat.

Namun kelmarin, Corsi menolak tawaran itu dan kini berdepan dakwaan semakan mungkin. Dia membuat pengumuman di Twitter untuk memfailkan aduan jenayah terhadap Mueller kerana salah laku pendakwaan. -AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X