Selasa, 4 Disember 2018 | 8:20am
MENTERI Pertahanan Iran, Amir Hatami melihat model peluru berpandu balistik. - Foto fail AFP/Kementerian Pertahanan Iran
MENTERI Pertahanan Iran, Amir Hatami melihat model peluru berpandu balistik. - Foto fail AFP/Kementerian Pertahanan Iran

Perancis, Britain desak bincang isu ujian peluru berpandu Iran

NEW YORK: Perancis dan Britain, semalam meminta diadakan mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas mendakwa Iran mengadakan ujian peluru berpandu jarak pertengahan hujung minggu lalu.

Mesyuarat dijangka diadakan hari ini.

Amerika Syarikat berkata, pelancaran peluru berpandu pada Sabtu lalu adalah melanggar resolusi PBB yang mengesahkan perjanjian nuklear Iran pada 2015. Washington sudah menarik diri daripada perjanjian berkenaan.

Resolusi menggesa Iran tidak mengadakan sebarang ujian peluru berpandu yang boleh membawa senjata nuklear.

Perancis berkata, ia bimbang dengan ujian itu dengan Kementerian Luarnya menganggap ia sebagai provokatif dan menggugat kestabilan’ dan ‘tidak mematuhi’ resolusi 2231 PBB mengenai perjanjian Iran.

Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt, menyifatkan ujian itu sebagai ‘provokatif, mengancam dan tidak konsisten’ dengan resolusi dan menegaskan Britain memutuskan ‘ia perlu dihentikan’.

Iran menegaskan program nuklearnya adalah bersifat pertahanan dan tidak bertujuan menghasilkan senjata nuklear, pendirian yang disokong Russia di Majlis Keselamatan.

Wakil khas Washington ke Iran, Brian Hook, menggesa Kesatuan Eropah mengenakan sekatan yang mensasarkan program peluru berpandu Tehran ketika Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, mengunjungi Brussels untuk berunding dengan rakannya di Eropah. — AFP

Berita Harian X