Selasa, 4 Disember 2018 | 11:23am
TERDAPAT alasan yang munasabah untuk mempercayai tentera Myanmar melakukan jenayah kemanusiaan. - Foto fail Reuters

AS didesak tubuh segera tribunal hukum tentera Myanmar

WASHINGTON: Kumpulan perundangan hak asasi manusia yang diupah Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk menyiasat kekejaman terhadap etnik Islam Rohingya di Myanmar, mengarah agar tribunal jenayah segera ditubuhkan untuk mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Kumpulan Undang-undang dan Dasar Antarabangsa (PILPG) dalam satu laporan berkata, terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai tentera Myanmar melakukan jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang terhadap kumpulan minoriti itu.

Pendedahan kumpulan itu adalah berdasarkan wawancara dengan lebih daripada 1,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh.

Kumpulan yang berpangkalan di Washington itu menggunakan istilah pembunuhan beramai-ramai untuk menambah tekanan kepada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menguatkan perincian layanan terhadap etnik Rohingya, langkah yang dapat mendesak kerajaan AS untuk mengambil tindakan tegas terhadap kerajaan Myanmar.

“Masyarakat antarabangsa bertanggungjawab melindungi populasi yang menjadi mangsa kejahatan dan kekejaman kerajaan mereka serta memastikan keadilan dan akauntabiliti terhadap jenayah seperti itu,” kata laporan itu.

Kumpulan itu mendesak agar penubuhan ‘mekanisma akauntabiliti’ atau dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Mereka mengambil contoh keadaan yang sama pada masa lalu, menggunakan mekanisma yang berbeza, termasuk ICC, penubuhan tribunal khas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa tribunal hibrid atau domestik dengan sokongan organisasi antara kerajaan.

Tentera Myanmar yang kebanyakannya beragama Buddha, menafikan tuduhan terhadap perlakuan mereka melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap etnik Rohingya, dengan alasan ia adalah sebahagian daripada usaha menentang pengganas.

Kedutaan Myanmar di Washington tidak memberikan maklum balas segera bila diminta untuk memberi komen terhadap laporan itu. - Reuters

Berita Harian X