Selasa, 4 Disember 2018 | 4:14pm
Majlis Keselamatan PBB akan bertemu secara tertutup atas permintaan Perancis dan Britain, selepas menuduh Iran menguji peluru berpandu jarak sederhana hujung minggu lalu. -Foto Agensi
Majlis Keselamatan PBB akan bertemu secara tertutup atas permintaan Perancis dan Britain, selepas menuduh Iran menguji peluru berpandu jarak sederhana hujung minggu lalu. -Foto Agensi

PBB bincang ujian peluru berpandu Iran

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan bertemu secara tertutup hari ini atas permintaan Perancis dan Britain, selepas mereka menuduh Iran menguji peluru berpandu jarak sederhana hujung minggu lalu, kata diplomat.

Amerika Syarikat (AS) berkata, pelancaran peluru berpandu Sabtu lalu dianggap melanggar resolusi PBB yang meluluskan perjanjian nuklear Iran 2015, yang mana Washington menarik diri.

Resolusi itu menghalang Iran daripada menguji keupayaan peluru berpandu untuk membawa senjata nuklear.

Perancis berkata, ia bimbang dengan ujian itu dengan Kementerian Luar menyifatkannya sebagai ‘provokasi dan menjejaskan’ serta ‘tidak mematuhi’ resolusi 2231 PBB.

Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt menggelar ujian peluru berpandu itu ‘provokasi, mengancam dan tidak konsisten’ dengan resolusi berkenaan dan berkata, negaranya bertegas, ia perlu dihentikan.

Iran sekian lama menegaskan, program peluru berpandunya tidak menyasar membawa senjata nuklear, pendirian disokong Russia dalam Majlis Keselamatan.

Wakil AS ke Iran, Brian Hook menggesa Kesatuan Eropah (EU) melaksanakan sekatan menyasar program peluru berpandu Tehran ketika Setiausaha Negaranya, Mike Pompeo berkunjung ke Brussels untuk berunding.

Mei lalu, AS membuat keputusan menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 dan melaksanakan semula sekatan ke atas Iran, mengejutkan sekutu Eropahnya.

Perjanjian itu menyediakan penarikan sekatan ke atas Iran sebagai balasan mengekang aktiviti nuklearnya.

Baki lima penandatangan perjanjian nuklear, Britain, China, Perancis, Jerman dan Russia, menyokong usaha EU mewujudkan satu sistem pembayaran khas dalam cubaan mengekalkan perdagangan dan hubungan perniagaan dengan Iran.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Presiden Iran Hassan Rouhani dalam ucapan disiarkan langsung di televisyen berkata, AS perlu tahu jika negara itu tidak dapat mengeksport minyak, justeru tiada negara akan mengeksport bahan api terbabit dari Teluk.

Pihak berkuasa AS berkata, mereka berhasrat mengurangkan eksport minyak Iran kepada sifar dalam usaha mengekang program peluru berpandu Republik Islam itu dan pengaruh serantau. -AFP/Reuters

Hassan Rouhani
Hassan Rouhani

Berita Harian X