Rabu, 26 Disember 2018 | 9:24am
DONALD Trump. - Foto EPA

Trump tegas tutup operasi kerajaan hingga dana diluluskan

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertegas tidak akan memulakan operasi pentadbiran kerajaan sehinggalah permohonannya untuk mendapatkan dana AS$5 bilion (RM20.9 bilion), bagi membiayai pembinaan tembok di sempadan Mexico.

Penutupan operasi pentadbiran Kerajaan Amerika Syarikat kini sudah memasuki hari keempat.

Trump berhasrat membina tembok di sempadan Amerika Syarikat dan Mexico, iaitu antara janji yang dibuat ketika pilihan raya presiden, namun permohonannya ditolak anggota Demokrat dan Republikan.

Justeru, sebagai tindak balas, Trump enggan menandatangani peruntukan belanjawan, sekali gus menjejaskan peruntukan dana kepada pentadbiran kerajaan.

“Saya tidak memberitahu anda, bila kerajaan akan beroperasi semula.

“Tetapi saya boleh mengesahkan bahawa ia tidak akan dibuka sehinggalah kami mendapat tembok, atau pagar atau apa sahaja yang mereka ingin panggil,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih ketika sesi sidang video tahunan bersama tentera Amerika Syarikat. - AFP

Berita Harian X